BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

tanaman limau

PANDUAN MENANAM LIMAU
(Tanaman Jangka Panjang)


PENGENALAN:

Limau merupakan pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana. Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting, mempunyai tabiat pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat hingga ke bujur. Pokok limau mempunyai sistem perakaran akar tunjang.

Varieti limau mandarin mempunyai daun berbentuk 'lanceolate/oblong' dengan tiada pembentukan kepak (wing) di tangkai daun. Pada kebiasannya daun berwarna daripada hijau muda ke hijau tua. Pada bahagian daun, terdapat kelenjar-kelenjar minyak (oil glands) yang mengeluar aroma yang menarik apabila dilipat atau diramas.

Pokok yang dibiak secara tampang mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam. Bunga terbentuk secara satu-satu atau secara jejambak di celah-celah tangkai daun pada ranting-ranting muda. Kebiasaannya bunga mengeluarkan bau yang harum. Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas kalik. Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning. Stigma pula berwarna hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga.

Pendebungaan pokok limau berlaku secara pendebungaan sendiri. Agen pendebunga ialah serangga seperti kutu trip, hamama dan lebah madu. Angin juga membantu proses pendebungaan pokok limau. Stigma bunga berupaya menerima debunga antara 1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis. Enam hari selepas proses pendebungaan, semua bahagian bunga akan luruh kecuali ovari dan stil. Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian stigma (101-5 hari selepas antesis).

Biji limau boleh mengeluar 2 hingga 5 anak benih dan salah satu daripada anak benih tersebut terbentuk melalui proses seksual (lihat maksudnya) manakala yang selebihnya dihasilkan melalui proses aseksual (necellar embryo).


VARIETI LIMAU

Varieti-varieti utama limau yang ditanam di Malaysia ialah limau jenis kupas (mandarin) dan jenis potong (sweet orange). Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis limau mandarin yang biasa ditanam. Jenis limau yang biasa di tanam di dataran rendah ialah Limau Langkat (Citrus suhuiensis). Limau Langkat dan limau jenis "Kwantung" lebih digemari oleh masyarakat berbanding dengan limau mandarin jenis lain. Disamping itu, limau madu atau limau wangi sangat memenuhi citarasa pembeli dan didapati amat laris dalam pasaran. Ini kerana limau madu mempunyai buah yang bersaiz besar, rasa yang manis tidak berasid, kandungan jus yang tinggi dan tidak mempunyai serat dan hampas yang tinggi.

  1. LIMAU MADU (Citrus suhuiensis Hort. ex.Tan)

    Sejenis limau Mandarin. Masalah-masalah yang sering dihadapi oleh petani tanaman limau madu ialah serangan penyakit reput batang phythopthora, penyakit virus tristeza (CTV) dan penyakit 'greening' atau dikenali juga sebagai penyakit inai daun. Penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza dapat dikawal dengan adanya pokok penanti yang bersesuaian, akan tetapi penyakit 'greening' masih menjadi masalah besar kepada pengusaha tanaman limau madu yang juga merupakan satu faktor utama kurangnya minat petani dalam mengusahakan tanaman limau madu di Malaysia.

    Kematangan Pokok Limau Madu

    Walaupun limau tergolong dalam buah-buahan tidak bermusim, umumnya terdapat dua musim utama pengeluaran buahnya yang tinggi. Di Terengganu, musim utama limau madu ialah pada bulan Mac hingga April dan Oktober hingga November.

    Oleh sebab limau madu adalah daripada jenis bukan klimakterik, buahnya perlu dipetik pada peringkat masak kerana proses pemasakan tidak berlaku selepas buah dipetik. Penentuan peringkat kematangan buah limau biasanya berasaskan tarikh bunga kembang, tekstur buah, perubahan warna kulit, keadaan kelenjar minyak (oil glands) dan uji rasa. Buah limau madu sesuai dipetik apabila berumur 8-10 bulan selepas bunga kembang. Apabila matang, kulitnya menjadi lembut terutama pada hujung buah, kelenjar minyaknya jelas kelihatan, kulit menjadi berkilat dan mudah dikupas.

    Penuaian dilakukan dengan menggunakan gunting atau sekateur. Buah dipetik dengan cara memohon tangkai yang agak panjang pada kali pertama. Pada kali kedua tangkai dipotong lebih rapat dengan permukaan buah. Jika tangkai yang agak panjang dibiarkan pada buah, tangkai tersebut boleh mencederakan antara satu sama lain semasa berada dalam bekas pengisi seperti bakul atau kotak. Pemetikan cara merabut atau menarik buah dengan tangan tidak digalakkan kerana boleh mengoyakkan kulit buah. Buah yang dipetik seelok-eloknya dimasukkan ke dalam bekas yang mampu dibawa oleh pemetik dan digalas pada bahu atau pinggang, atau dimasukkan terus ke dalam bakul atau kereta sorong. Amalan mencampakkan buah atau membiarkan buah gugur ke permukaan perlu dielakkan kerana ini menyebabkan buah menjadi lebam.

  2. LIUKAN (Citrus reticulata Blanco)

    Berasal dari daerah Liuzhou, China dan sangat popular dengan kulit luarnya yang bersih serta cantik dengan berwarna oren. Namun warna buahnya kekal hijau apabila matang jika diusahakan di kawasan tanah rendah dan mempunyai harga pasaran yang lebih rendah daripada varieti lain. Varieti limau ini mampu menghasilkan buah yang banyak, tetapi ianya mampu bertahan untuk beberapa musim sahaja dan perlu diganti. Varieti limau ini juga mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening' dan juga penyakit virus tristeza.

  3. CHAOZHOU HONEY MANDARIN (Citrus reticulata Blanco)

    Berasal dari daerah Chaozhou, Cina. Menghasilkan buah yang besar seperti limau madu tetapi mempunyai kandungan jus yang tinggi dan tidak berasid. Varieti ini tidak sepopular varieti limau madu. Buahnya berasa tawar jika dituai pad musim hujan dan masalah buah kembung merupakan masalah utama dan mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening'.

  4. KWANTUNG MANDARIN (Citrus reticulata Blanco var.tangerina Hort.ex.Tan)

    Ia sangat diminati oleh masyarakat tempatan dan biasanya dibiak secara cantuman tunas dan limau dari varieti ini sangat mudah dijangkiti oleh penyakit virus tristeza. Varieti ini mampu menghasilkan buah dalam kualiti yang banyak sehingga petani perlu melaksanakan proses penjarangan buah. Hasil mesti dituai pada masa yang tepat, iaitu ketika buah berwarna oren, dan jika dituai sebelum sampai masanya ianya menghasilkan buah yang berasa masam dan tidak sesuai untuk dipasarkan.

  5. PONKAN (Citrus reticulata Blanco var.ponki Hort.ex.Tan)

    Limau daripada varieti ini menghasilkan buah yang bermutu tinggi. Varieti ini paling banyak diusahakan di Cameron Highlands dan kadang-kadang dikenali sebagai Hokkienkam. Walaupun ia menghasilkan buah yang bermutu tinggi tetapi hasil tanaman kurang memuaskan berbanding dengan varieti limau yang lain.

  6. LIMAU PURUT

    Limau purut berbau lebih kuat dan tajam. Berasal dari kepulauan Asia Tenggara, ia merupakan tumbuhan herba yang mula mencipta nama. Pokoknya mudah dikenali dari struktur daunnya yang berwarna hijau pekat dan berbentuk seperti nombor lapan. Buah limau purut juga boleh dibezakan dengan mudah kerana buah yang matang berwarna kuning, berbentuk seperti buah pir dan kulitnya menggerutu. Pokok ini hidup subur di kawasan yang mempunyai pancaran cahaya matahari yang kuat, tidak memerlukan naungan dan boleh hidup selama beberapa tahun. Lazimnya buah limau purut tidak mengeluarkan jus yang banyak tetapi setitis jusnya setanding dengan 10-15 titis bau dan rasa masam jus limau nipis. Nama lain bagi limau purut (Citrus hystrix) ialah limau kaffir dan 'leech lime'.

    Daun limau purut telah lama digunakan sebagai bahan perubatan dan masakan. Bau dan rasa ini tidak boleh didapati daripada daun limau yang lain. Daun limau purut juga pernah digunakan untuk menambah rasa ruak atau arak beras. Limau purut mengandungi beberapa minyak pati yang mempunyai nilai ubatan yang tinggi antara alfa, beta-pinena, sitronelal, neral dan limonena. Kajian terbaru menunjukkan ekstrak daun limau purut mempunyai sifat antipertumbuhan kuman, boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tanda-tanda alahan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan menaikkan nafsu makan.

0 comments: